![]() |
Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh.
Bismillahirrahmanirrahim.
Allahummasolli ala sayyidina Muhammad wa ala alihi wasahbihi wasalam.
Ya Quddus Ya Rahim.
Saya Abdullah Bin Hashim. ( Pak Lah@ Pakcik Atan)
Tempat lahir di Muar Johor.
Tarikh lahir 13 Ogos 1939 berumur 78 tahun.
Tarikh hari ini Rabu 25 Oktober 2017
Saya telah
mempelajari seni mempertahankan diri sejak berumur 15 tahun.
Ketika era tahun
50an, saya mula belajar silat dengan guru Silat Sendeng Tujuh Hari bernama Hj
Ahmad bin Hj Awang dikenali dengan nama gelaran Busu Mat (Mat Keroyo). Dia juga
mengajar saya Silat Sendeng Long Mamat dan Silat Sendeng Sepapan. Dalam masa
yang sama, saya juga dapat belajar silat dengan abang kepada Busu Mat iaitu
Pokda Mail Bisu. Nama penuhnya Ismail Bin Hj Awang dan mereka berdua adalah
adik beradik. Pada satu masa saya dapat belajar empat jenis silat daripada dua
guru. Latihan diadakan di rumah Busu Mat. Pokda Mail Bisu mengajar saya Pukulan
Mersing Cik Awang Daik Cik Awang Bepang. Jadi, perjalanan pukulan ini berlainan
dengan silat Sendeng. Dia terlalu garang orangnya. Dia mengajar dengan cara
tunjuk langkah tapi tanpa suara kerana dia bisu. Walaupun bisu tapi handal ilmu
persilatannya dan sangat tangkas geraknya. Setelah lama belajar dengan Busu Mat
dan Pokda Mail Bisu, saya minta izin dengan Busu Mat untuk menambah pelajaran
saya.Saya belajar
pula dengan Ngah Karim iaitu silat Sendeng Kuntau. Saya belajar beberapa tahun
dengannya. Dia belajar Sendeng Kuntau daripada ayahnya bernama Busu Yasin yang
masyhur ketika itu di kampung Parit Keroma, kampung Parit Sakai dan kampung
Parit Perupuk jalan Abdul Rahman Muar. Kemudian saya menambahkan pelajaran saya
iaitu bertemu dengan seorang guru bernama Pawang Salleh Bin Tumin yang mengajar
Silat Sendeng Beruk Berayun. Saya belajar berterusan sehingga akhir hayatnya
tiada khatam sehinggalah dia meninggal dunia.
Selepas era
tahun-tahun merdeka, saya belajar pula dengan Hj Abu Laham bin Hj Abu Samah.
Guru ini lebih dikenali dengan nama gelaran Ngah Laham atau Pak Itam dan saya
memanggilnya abang Laham. Dia tinggal di Parit Tiram Muar. Pada asal mulanya
nama silat ini ialah Seni Silat Tepat. Abang Laham memberitahu TEPAT bermaksud
Tumbuk Elok Pada Arahan Tertentu. Kemudian setelah beberapa tahun lamanya, nama
silat ditukar kepada Silat Tadah Kuntau. Abang Laham mengajar di beberapa
gelanggang antaranya di Jalan Daud, di Bukit Treh, di Parit Setongkat, di
Pesta, di Parit Perupok dan di rumahnya di Parit Tiram, Dia juga ada
menceritakan yang dia pernah ke Singapura dijemput oleh Cathay Keris untuk
mengajar pelakon Nordin Ahmad persilatan dalam cerita Hang Jebat. Dari Muar ke
Singapura dengan cikgu Sulaiman menaiki motor Norton dan pernah ke Geylang
Serai mengajar beberapa anak melayu di sana. Sepanjang saya belajar dengan
abang laham, dia kerapkali menggunakan kaki untuk membuang pukulan. Kadang-kadang
menggunakan tangan kanannya sahaja manakala tangan kirinya dimasukkan ke dalam
kocek. Ini kerana tangan kirinya sangat pantas, bimbang terkena anak-anak
muridnya secara tidak sengaja. Saya selalu sahaja berlatih gerak pukul
(sparring) dengannya.
Di gelanggang
Parit Perupok iaitu di rumah cikgu Hj Sulaiman Wahid (murid kanannya), ada satu
kenangan yang agak sukar dilupakan. Ketika itu saya sudah setahun belajar. Saya
dipanggil bangun untuk latihan gerak pukul. Abang Laham memulakan serangan
mengejut. Apakala dia bergerak membuka langkah, dengan sepantas kilat saya
masuk menumbuk ke dadanya. Pada masa itu pada kiraan saya, saya pasti boleh
dapat menumbuk dadanya. Malangnya ia menjadi satu pengajaran bagi diri saya.
Rupa-rupanya dia menunjukkan saya cara memasang perangkap. Apakala saya masuk
dengan pantas, dia hanya melapis dan meletakkan tangannya ke telinga kiri saya.
Tiba-tiba telinga kiri saya terus berdengung. Sahabat seperguruan yang
sama-sama berlatih ketika itu iaitu Akbar Anang dan Sulaiman Totok, cuba untuk
bercakap namun percakapan mereka tidak dapat saya dengari kerana bunyi dengung
di telinga masih belum reda. Saya membuat pemeriksaan dengan doktor William
Chow di jalan Abdullah Muar (klinik swasta). Doktor mengatakan gegendang
telinga saya ada berlubang sedikit. Sebelah telinga saya tidak dapat mendengar
lebih kurang seminggu. Kemudian saya meminta air penawar dari abang Laham. Dia
memberi air penawar itu untuk diminum dan sapu di telinga. Lama kelamaan
barulah telinga saya beransur-ansur pulih, tetapi tidak seperti sediakala. Dia
pernah berpesan KALAU KITA MENGAIL,, MATA KAIL MESTI ADA BERUMPAN. KALAU TAKDE
UMPAN,, MATA KAIL SAJA KITA TARUKKAN, IKAN TAKKAN MAKAN. Dan kata dia lagi..
KITA MEMBUKA,, MEMBERI RUANG ORANG MENYERANG SEBENARNYA ITU ADALAH UMPAN
PUKULAN. Bermula dari hari itu, semangat untuk belajar Seni Silat Tepat semakin
berkobar-kobar.
Antara
pelajaran Seni Silat Tepat ini ada 21 jenis belebat untuk menguatkan tangan dan
kaki. Dan tiap-tiap satu belebat itu perlu dilatih selama lebih kurang enam
bulan baru boleh beralih ke belebat seterusnya. Kalau mengikut kiraan, untuk
menghabiskan kesemua 21 belebat perlu dilatihkan selama lebih kurang 126 bulan
atau 10 tahun. Mungkin ada rahsia yang tidak diketahui mengapa ia amat perlu
dilatihkan sedemikian lamanya. Saya dan sahabat seperguruan disuruh berlatih
sampai betul-betul "masak" iaitu sampai betul-betul memiliki setiap
belebat tersebut. Abang Laham berpesan bahawa BELEBAT INILAH BUAH PUKUL.
Susunan
pelajaran silat ini ada 21 jenis belebat dan 12 jenis pecah. Ada lampas pukul
(sparring yg telah disusun langkahnya) dan gerak pukul (sparring spontan tanpa
susunan). Mengulangi pesanannya bahawa kami disuruh berlatih sampai betul-betul
"masak".Sehingga ke hari ini saya hanya berjaya belajar hingga pecah
yang ke 5 sahaja. Abang laham mengatakan dalam pelajaran silat ini tiada
istilah khatam atau tamat belajar. Ini kerana kita akan berjumpa dengan
berbagai-bagai gerak pukul dari seni beladiri yang lain.
Pesanan yang
sangat penting dari Hj Laham kepada semua ahli Seni Silat Tepat atau dikenali
sebagai (pukulan purba Melayu dari Acheh) atau nama barunya (Silat Tadah
Kuntau).
1
Menghormati semua guru silat dari apa-apa jenis beladiri.
2
Menghormati semua murid yang sama-sama seperguruan dan lain-lain perguruan.
3 Jangan angkuh dan jangan mendabik dada
4 Tidak boleh menunjuk-nunjukkan
silat di khalayak ramai melainkan untuk pertunjukan temasya tertentu.
5
Yang paling penting sekali kalau kita bergaduh TIDAK ADA BELAS KASIHAN kerana
kita perlu mempertahankan diri daripada musuh.
6
Kita hendaklah sentiasa berasa diri kita kekurangan ilmu mempertahankan diri.
7
Kita mesti anggap pukulan orang lain lebih bagus daripada diri kita supaya kita
sentiasa berwaspada.
Setelah
beberapa lama berguru dengan abang Laham, saya pernah bertanya apakah nama
sebenar silat ini selain Seni Silat Tepat. Dia mengatakan pukulan ini asalnya
dikenali sebagai pukulan purba Melayu dari Acheh, maka saya sendiri meminta
izin daripada abang Laham untuk menamakan silat ini Silat Tadah Kuntau dan dia
mengizinkan.
Sekarang Seni Silat Tepat dikenali dengan nama baru iaitu Silat
Tadah Kuntau.
Mengikut asal
cerita bagaimana abang Laham mendapat pukulan ini, dia belajar dengan bapa
saudaranya di Serom Panggung. Bapa saudaranya bernama Kulup bin Mustaqim yang
lebih dikenali dengan gelaran Kulup Chinpiang, kerana jasanya mengalahkan samseng
Cina Chinpiang suatu ketika dahulu. Kemungkinan era sebelum merdeka. Di kala
itu abang Laham menceritakan kepada saya, ada beberapa samseng Cina yang
bergelar Chinpiang dengan pasukannya lebih kurang 12 orang telah turun dari
Sagil berdekatan Segamat. Kebanyakan samseng Cina Chinpiang itu mempunyai
tocang rambut dan dada yang berbulu. Dari Sagil, mereka mara hingga ke Serom
Panggung. Mereka merampas tebu-tebu dan ayam belaan penduduk setempat. Apakala
sampai ke Serom Panggung, keadaan penduduk pada masa itu tidak terkawal. Dari
apa yang diceritakan, Kulup Mustaqim dan beberapa sahabatnya dapat melawan Cina
Chinpiang ini. Dari situlah gelaran Chinpiang melekat kepada Kulup.
Demi menimba
ilmu, Abang Laham berbasikal dari Parit Tiram naik Feri Penambang Muar
menyeberang ke Tanjung Agas dan terus berbasikal ke Serom berulang alik
mempelajari silat daripada Kulup Chinpiang. Ketika itu jambatan yang
menyeberangi sungai Muar tidak wujud lagi. Jambatan Sultan Ismail yang
menghubungkan bandar Muar dengan Tanjung Agas siap dibina lebih kurang tahun
1967. Maka sebelum itu kapal Feri Penambang Muar adalah satu-satunya
pengangkutan yang paling utama. Begitulah usahanya menuntut ilmu.
Bertahun-tahun saya dan
sahabat seperguruan yang lain gigih menimba ilmu silat ini. Tiba suatu masa,
abang Laham memberhentikan seketika kelas latihan kerana dia hendak pergi
menangkap ikan di Mersing selama beberapa bulan, lebih kurang 6 bulan. Saya memohon
keizinannya untuk menambah pelajaran dan dia mengizinkan saya..





































































